Menimpa bertalu

HIDUP tak habis dengan dugaan. Bukan hidup namanya jika tidak diduga. Aku, engkau, dia atau siapa-siapa akan punya masalah tersendiri. Ada yang diduga dengan kesihatan, ada yang diduga dengan kewangan, ada juga diduga dengan perhubungan dan pelbagai lagi dugaan yang sungguh perit untuk aku ungkapkan.

Cuba dan cukuplah jika kau faham. Faham dan berusaha untuk tempatkan diri dalam masalah orang lain. Ingat, tak semua nasib orang sama. Jangan lupa juga, hidup umpama roda. Putarannya, tak tentu hala. Adakalanya kita diatas dan sebaliknya.




Kadang sukar untuk kita duga esok atau lusa nasib kita bagaimana. Eh memang tak boleh diduga. Esok adalah rahsia Sang Pencipta yang Maha Berkuasa. Kadang kita rancang itu dan ini. Kadang kita impi yang luar biasa bahagianya. Tapi selalunya apa yang kita perolehi berbeza terlalu jauh dengan apa yang kita rancang dan impikan. Nah !! Ini lah namanya kehidupan. Kadang kita mengekek ketawa bahagia, kadang kita tersedu menangis hiba.

Sabar dan terus berdoa. Bergantung harap hanya pada DIA. Engkau pasti akan rasa, kekuatan yang luar biasa. Ketabahan dan ketenangan yang sukar dimengerti walaupun di saat dugaan menimpa berkali-kali. Cuba engkau tarik nafas dalam-dalam. Hembus perlahan-lahan. Berfikir secara tenang. Untuk apa tujuan kita dijadikan. Nah, sekarang engkau fikir perlahan-lahan, cuba pertimbangkan setiap kemungkinan. Untuk apa? Bukan dua atau tiga tujuan kita diuji. Cuma satu, ya hanya satu. 

Firman Allah SWT : “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 2)

Tepuk dada, buka hati dan fikiran. Doa aku cuma satu semoga kita dipermudahkan segala urusan. Semoga setiap dugaan yang diberikan kita mampu laluinya walau berkali kita terjatuh dan terluka. Semoga kita tetap terus kuat untuk melangkah dan meniti dugaan satu persatu. Supaya diakhir perjalanan kita akan digelar seorang insan yang budiman dan gagah meniti ujian bukan untuk siapa-siapa tetapi untuk diri sendiri dan Tuhan iaitu sebab utama kita dijadikan. Ameen.


Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sakit dibahagian vagina semasa hamil

Kad jemputan perkahwinan simple

Sijil SKM hilang